Friday, April 13, 2007

Kaedah Penyembelihan Torasik Dibenarkan

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah memutuskan bahawa kaedah penyembelihan torasik untuk daging yang diimport dari New Zealand dibenarkan dan daging ternakan tersebut adalah halal tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) Datuk Dr Abdul Aziz Jamaluddin berkata keputusan itu dibuat dalam muzakarah jawatankuasa itu ke-70 pada 29 Sept tahun lepas.

Kaedah penyembelihan ini merupakan prosedur yang dijalankan untuk ternakan selepas sembelihan iaitu tikaman dilakukan dengan pisau bagi memutuskan urat leher yang digunakan selari dengan perundangan New Zealand bagi kesejahteraan haiwan dan keselamatan negara.

"Pengauditan yang dijalankan oleh JPH dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ke atas rumah sembelih di New Zealand pada 7 hingga 30 Mei tahun lepas mendapati penemuan beberapa prosedur yang tidak mematuhi piawaian Halal Malaysia MS 1500:2004," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Antara prosedurnya ialah pelumpuhan elektrik iaitu arus elektrik dikenakan pada ternakan sebelum sembelihan dilakukan untuk mengurangkan pergerakan haiwan semasa disembelih dan mengurangkan kecederaan pada pengendali ternakan tersebut.

Pengeluaran tulang belakang pula mengenakan arus elektrik pada ternakan terutama pada bebiri dan kambing di mana arus elektrik akan mengalir menerusi saraf tunjang bagi mengawal aktiviti otot ternakan semasa disembelih dan mengelakkan kecederaan pada pekerja pengendali proses penyembelihan.

Dr Abdul Aziz berkata kaedah penyembelihan torasik pula dibenarkan kerana mematuhi syarat-syarat iaitu penyembelihan dilakukan dengan sempurna, dijalankan setelah adanya pendarahan sempurna atau selepas 30 saat dan dikawal selia oleh petugas yang beragama Islam bertauliah.

"Namun, keputusan bilangan rumah penyembelihan lembu yang dibenarkan pengimportan daging ke Malaysia kekal disebabkan prosedur pelumpuhan elektrik dan pengeluaran tulang belakang yang masih diamalkan di New Zealand," katanya.

Jumlah rumah penyembelihan yang diluluskan untuk daging lembu dan bebiri atau kambing yang diimport berkurangan yang kini hanya 13 rumah seperti itu untuk bebiri yang diluluskan disebabkan kegagalan dalam mematuhi piawaian Halal Malaysia MS1500:2004.

Beliau berkata pengauditan rumah penyembelihan lembu dan bebiri di New Zealand akan bermula pada 19 hingga 28 April ini oleh pegawai JPH dan Jakim yang akan menyiasat dan memastikan prosedur ini dijalankan setelah ternakan disembelih secara sempurna, selaras dengan piawaian halal Malaysia dengan kaedah memitamkan ternakan itu menggunakan elektrik sahaja yang dibenarkan.

Daging lembu yang diimport dari New Zealand ke Malaysia pada 2000 hingga 2005 adalah antara lima dan lapan peratus daripada jumlah keseluruhan daging lembu yang diimport ke Malaysia.

Katanya daging bebiri dan kambing yang diimport dari New Zealand pula kira-kira 34 hingga 50 peratus daripada keseluruhan daging kambing dan bebiri yang diimport ke Malaysia bagi tempoh sama. - BERNAMA

Wednesday, April 11, 2007

Saturday, April 7, 2007

ULUL ALBAB: DUA CARA FAHAMI MAKNA AL-QURAN

UMAT Islam mengimani bahawa al-Quran diturunkan kepada Nabi SAW dengan membawa kebenaran dan petunjuk kepada umat manusia, sekali gus mengesahkan kebenaran kitab suci yang diturunkan sebelumnya.

Firman Allah maksudnya: “Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan kebenaran kitab Suci diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya.” (Surah al-Maidah: 48)
.
Nabi SAW menjelaskan mengenai kemuliaan dan kebesaran al-Quran dalam banyak hadis antaranya, hadis disebut Ali bin Abu Thalib diriwayat oleh Harits al-A’war, katanya: "Aku berlalu di masjid, lalu aku melihat ada orang ramai mengarung (yakni mabuk bercakap mengenai perkara yang boleh membawa fitnah, pembunuhan dan permusuhan).
.
Kemudian aku menemui Ali bin Abu Thalib dan berkata kepadanya: “Wahai Amirul Mukminin, adakah tuan melihat orang ramai mengarung di dalam percakapan mereka?” Ali bertanya: "Adakah mereka melakukannya?” Aku menjawab: “Ya.’’ Maka Ali pun berkata: "Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Ingat, sesungguhnya itu akan menyebabkan fitnah.’’ Saya bertanya: “Bagaimana jalan keluar daripadanya wahai Rasulullah?” Rasulullah bersabda: “(Berpegang) kepada kitab Allah yang menceritakan orang sebelummu dan berita orang sesudahmu, dan sebagai penghukum apa terjadi antara sesamamu.
.
Kitab Allah adalah firman yang memisahkan antara hak dan batil dan ia bukan senda gurau. Orang meninggalkan kitab Allah adalah golongan sombong dan Allah akan membinasakannya. Orang mencari petunjuk selain kitab Allah, Allah akan menyesatkannya. Kitab Allah adalah (tali) Allah yang kuat, penuh hikmah, jalan lurus, tidak condong pada hawa nafsu dan tidak berat pada setiap lisan. Ulama tidak akan kenyang padanya dan ia tidak usang oleh banyaknya diulang-ulang (bacaannya) serta tidak habis keajaibannya.
.
Jin tatkala mendengarnya berkata: (Sesungguhnya kami sudah mendengar al-Quran yang menakjubkan yang memberi petunjuk kepada jalan benar, lalu kami beriman kepadanya). Barang siapa berkata dengan al-Quran, maka benarlah dia, barang siapa mengamalkannya, dia diberi pahala, orang menetapkan hukum dengannya maka, dia adil dan barang siapa mengajak-ajak kepada al-Quran, dia mendapat petunjuk pada jalan lurus. Ambillah (kata-kata yang baik) hai A’war.” (Riwayat al-Tirmidzi dan al-Darimi)
.
Sebagai umat Islam, kita digalakkan membaca dan mengkhatamkan al-Quran sedapat mungkin lima hari sekali atau sebulan sekali. Ia lebih mendekatkan kita kepada al-Khaliq. Kita mesti membacanya dengan penuh tadabur, berfikir, merenunginya dengan khusyuk dan sedih kerana sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Sesunguhnya al-Quran diturunkan dalam keadaan dukacita maka, apabila kamu membacanya hendaklah kamu berasakan kedukacitaan itu” (Riwayat Abu Ya'la dan Abu Nu'aim)
.
Dalam sebuah hadis Nabi SAW juga bersabda maksudnya: “Ibadah yang paling utama bagi umatku ialah membaca al-Quran.” (Riwayat Abu Nu'aim) Mengenai kandungan al-Quran, Baginda menyifatkannya seperti diriwayatkan Abdullah bin Mas'ud dengan sabdanya bermaksud: "Sesungguhnya al-Quran ini adalah hidangan Allah, oleh itu hendaklah kamu menyebutnya sekadar terdaya. Sesungguhnya al-Quran ini adalah tali Allah, cahaya yang terang benderang dan penawar berguna.
.
Bacalah al-Quran kerana Allah akan memberi ganjaran ke atas setiap huruf daripada bacaanmu dengan 10 kebaikan. Aku tidak mengatakan kepadamu Alif, Lam, Mim itu satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf." (Riwayat Al-Hakim)
.
Untuk memahami al-Quran (bagi yang tak faham bahasa Arab disarankan membaca terjemahan tafsirnya). Ada dua cara: Pertama, pembaca hendaklah menerima baik (husn al-zan) terhadap nas al-Quran dan mahu menerimanya sebagai panduan kehidupan. Persoalan ini amat berkait rapat dengan adab pembaca ketika membacanya. Antara adabnya ialah: Memilih waktu sesuai untuk membacanya; memilih tempat yang boleh menjernihkan fikiran pembaca dari hiruk pikuk ganguan; memilih posisi duduk yang sesuai dan kondisi yang sopan menggambarkan kehambaannya di sisi Allah; mensucikan diri dari kotoran lahiriah; menumpukan perhatian kepada ayat-ayat yang dibaca; tidak mengejar semua ayat dan mahu memperoleh semua perkara dalam satu masa; mengosongkan jiwa dari kesibukan menunaikan hajat dan memenuhi permintaan sebelum mulai membacanya; berhenti sejenak di depan ayat yang dibaca dan merenungi maknanya; dan cuba menjadikan bahawa pembaca sendirilah yang sedang diajak bercakap dengan ayat-ayatnya.
.
Kedua, pembaca hendaklah mengetahui disiplin berinteraksi dengannya iaitu memandang al-Quran dengan pandangan yang lengkap dan menyeluruh; memerhatikan matlamat utama al-Quran iaitu; memberi hidayah, mewujudkan peribadi muslim dan masyarakat yang Islamik berasakan tugas dakwahnya iaitu melahirkan situasi solehah yang berpaksikan amar makruf nahi mungkar; berusaha memasuki nas al-Quran secara mutlak dan menundukkan realiti yang menyalahi kepadanya; membebaskan nas al-Quran dari sebarang ikatan tempat dan masa nuzul; dan sering mengulang semula ayat-ayat yang pernah dibaca dan berusaha menambahkan pengetahuan terhadap makna-maknanya. (Zulkifli Hj Mohd Yusoff, Al-Quran : Antara Tuntutan Kefahaman)
.
Ketika membaca khataman rutin al-Quran sampai pada ayat terakhir Surah Hud, penulis teringat dan terbayangkan keadaan umat Islam hari ini. Sambil membaca dan bertadabbur (tafsir), penulis pun menitiskan air mata mengingatkan keadaan kita yang sebenar, khasnya dalam hubungan kita dengan pelaksanaan hukum Allah yang ada dalam ajaran Islam. Kita tidak konsisten (istiqamah); kita melampau; kita cenderung kepada orang yang berlaku zalim; kita lalai kewajipan solat; kita tergesa-gesa dan tidak sabar; kita tidak beramar makruf nahi mungkar; kita tidak mahu memperbaiki diri; dan kita selalu berselisih dan bergaduh sesama sendiri.
.
Hari ini di mana kita masih diumbang-ambingkan pertembungan tamadun moden. Kita masih lemah, belum sedar, belum terjaga dan belum pulih. Marilah kita kembali kepada al-Quran dan melaksanakan ajarannya sepenuhnya seperti diperintahkan Allah dalam al-Quran maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” (Surah al-Baqarah: 208)
.
Penulis berharap kita semua dengan rela, lapang dada dan penuh keimanan menerima hakikat ajaran Ilahi dalam ayat ini, kemudian melaksanakannya sedapat mungkin mengikut keupayaan masing-masing daripada puncak pimpinan umat kepada yang terendah. Penulis tidak akan membuat tafsiran mahupun ulasan ke atas ayat al-Quran ini kerana pembaca adalah arif dan akan faham dengan sendirinya firman Allah SWT yang terjemahan maksudnya:
.
“Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagai mana diperintahkan kepadamu dan hendaklah orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian dan janganlah kamu melampaui batas hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan."
.
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api Neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.”
.
“Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.”
.
“Dan sabarlah (wahai Muhammad, engkau dan umatmu, dalam mengerjakan suruhan Allah), kerana sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang yang berbuat kebaikan.”
.
“Maka sepatutnya ada di antara umat yang dibinasakan dulu daripada kamu itu, orang yang berkelebihan akal fikiran yang melarang kaumnya daripada perbuatan jahat di muka bumi tetapi sayang! Tidak ada yang melarang melainkan sedikit saja, iaitu orang yang Kami selamatkan di antara mereka dan orang yang tidak melarang itu menitik beratkan segala kemewahan yang diberikan kepada mereka dan menjadilah mereka orang yang berdosa.”
.
”Dan Tuhanmu tidak sekali-kali membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri."
.
”Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.” (Surah Hud 112-118) Sadaqallahul ’Azim
.
Oleh Abdurrahman Haqqi (Berita Harian - 08 APR 2007)