Friday, April 13, 2007

Kaedah Penyembelihan Torasik Dibenarkan

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah memutuskan bahawa kaedah penyembelihan torasik untuk daging yang diimport dari New Zealand dibenarkan dan daging ternakan tersebut adalah halal tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) Datuk Dr Abdul Aziz Jamaluddin berkata keputusan itu dibuat dalam muzakarah jawatankuasa itu ke-70 pada 29 Sept tahun lepas.

Kaedah penyembelihan ini merupakan prosedur yang dijalankan untuk ternakan selepas sembelihan iaitu tikaman dilakukan dengan pisau bagi memutuskan urat leher yang digunakan selari dengan perundangan New Zealand bagi kesejahteraan haiwan dan keselamatan negara.

"Pengauditan yang dijalankan oleh JPH dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ke atas rumah sembelih di New Zealand pada 7 hingga 30 Mei tahun lepas mendapati penemuan beberapa prosedur yang tidak mematuhi piawaian Halal Malaysia MS 1500:2004," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Antara prosedurnya ialah pelumpuhan elektrik iaitu arus elektrik dikenakan pada ternakan sebelum sembelihan dilakukan untuk mengurangkan pergerakan haiwan semasa disembelih dan mengurangkan kecederaan pada pengendali ternakan tersebut.

Pengeluaran tulang belakang pula mengenakan arus elektrik pada ternakan terutama pada bebiri dan kambing di mana arus elektrik akan mengalir menerusi saraf tunjang bagi mengawal aktiviti otot ternakan semasa disembelih dan mengelakkan kecederaan pada pekerja pengendali proses penyembelihan.

Dr Abdul Aziz berkata kaedah penyembelihan torasik pula dibenarkan kerana mematuhi syarat-syarat iaitu penyembelihan dilakukan dengan sempurna, dijalankan setelah adanya pendarahan sempurna atau selepas 30 saat dan dikawal selia oleh petugas yang beragama Islam bertauliah.

"Namun, keputusan bilangan rumah penyembelihan lembu yang dibenarkan pengimportan daging ke Malaysia kekal disebabkan prosedur pelumpuhan elektrik dan pengeluaran tulang belakang yang masih diamalkan di New Zealand," katanya.

Jumlah rumah penyembelihan yang diluluskan untuk daging lembu dan bebiri atau kambing yang diimport berkurangan yang kini hanya 13 rumah seperti itu untuk bebiri yang diluluskan disebabkan kegagalan dalam mematuhi piawaian Halal Malaysia MS1500:2004.

Beliau berkata pengauditan rumah penyembelihan lembu dan bebiri di New Zealand akan bermula pada 19 hingga 28 April ini oleh pegawai JPH dan Jakim yang akan menyiasat dan memastikan prosedur ini dijalankan setelah ternakan disembelih secara sempurna, selaras dengan piawaian halal Malaysia dengan kaedah memitamkan ternakan itu menggunakan elektrik sahaja yang dibenarkan.

Daging lembu yang diimport dari New Zealand ke Malaysia pada 2000 hingga 2005 adalah antara lima dan lapan peratus daripada jumlah keseluruhan daging lembu yang diimport ke Malaysia.

Katanya daging bebiri dan kambing yang diimport dari New Zealand pula kira-kira 34 hingga 50 peratus daripada keseluruhan daging kambing dan bebiri yang diimport ke Malaysia bagi tempoh sama. - BERNAMA

No comments: