Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi (Berita Harian, 20 FEB 2007)
SAFAR adalah bulan kedua dalam kalendar Islam. Dalam bahasa Arab, Safar bermaksud kosong. Sudah menjadi kebiasaan orang Arab pada Safar ini, meninggalkan rumah dan kampung halaman mereka kerana melaksanakan tugas penting seperti berperang, menuntut bela kematian saudara mereka, berdagang dan sebagainya.
Dalam lipatan sejarah Islam, Safar juga mencatatkan pelbagai peristiwa besar dan penting yang sewajarnya menjadi renungan bersama setiap Muslim dalam kehidupan seharian.
Di antara peristiwa penting itu ialah pernikahan Rasulullah SAW dengan Khadijah Khuwailid. Ia berlaku sebelum Nabi dilantik menjadi Rasul. Safar juga menyaksikan kebenaran berperang yang berlaku pada tahun ke-2 Hijrah.
Peperangan pertama disertai Rasulullah SAW adalah Wudan atau Abwa' bagi menentang kekufuran. Seterusnya, peperangan Bi'r Ma'unah juga berlaku pada tahun ke-4 Hijrah, di bawah pimpinan al-Munzir 'Amr As Sa'idi.
Al-Munzir ditugaskan berdakwah dan mengajar agama Islam dan al-Quran kepada Bani 'Amir. Peperangan ini disertai 40 sahabat Rasulullah SAW.
Selain itu, Safar mencatat tragedi al-Raji'. Peristiwa ini berlaku pada tahun ke-3 Hijrah atau ke-4 Hijrah membabitkan tujuh sahabat baginda diutus bagi mengajar agama Islam kepada kaum 'Udal dan al-Qarah.
Bagaimanapun, kaum itu mengkhianati perutusan dengan melakukan serangan hendap di sebuah tempat persinggahan bernama al-Raji' di daerah 'Usfan (kawasan antara Makkah dan Madinah).
Di antara sahabat menyertai perutusan itu adalah Khubaib 'Adi, Marthad Abi Marthad al-Ghanawiy, 'Asim Thabit dan Zaid al-Dathanah. Semua sahabat dibunuh di tempat serangan kecuali Khubaib 'Adi yang dibawa ke Makkah dan dibunuh di sana. Beliau adalah orang yang pertama menunaikan solat dua rakaat sunat sebelum dibunuh yang kemudiannya menjadi ikutan sunnah.
Pembukaan Khaibar (kubu orang Yahudi) juga berlaku pada Safar tahun ke-7 Hijrah dengan disertai 20 sahabat wanita antaranya Ummu Salamah, Safiyah Abd Mutallib dan Ummu Aiman. Di dalam peperangan itu, seramai 15 sahabat gugur syahid manakala pada pihak Yahudi pula seramai 73 terbunuh.
Demikian antara peristiwa penting yang berlaku pada Safar dirakamkan oleh sejarawan untuk dijadikan bahan pengajaran kepada umat Islam.
Bagaimanapun, masih terdapat sebahagian umat Islam terutama yang lemah akidah mempercayai kepada sempena baik, prasangka buruk atau nahas terhadap Safar ini, khususnya pada Rabu akhir bulan.
Lebih malang lagi, mereka percaya bahawa pada Safar ini, Allah akan menurunkan puluhan ribu bala yang akan menimpa umat manusia, sedangkan bala sentiasa berada di mana-mana dan pada bila-bila masa yang dikehendaki Allah.
Justeru, berdasarkan kepercayaan karut itu, ada umat Islam yang menulis ayat wifiq pada kertas atau pinggan mangkuk yang kemudian diletakkan di dalam tempayan atau kolam atau perigi atau seumpamanya untuk diminum atau mandi konon untuk mendapatkan perlindungan daripada bala buruk pada hari itu.
Perlu ditegaskan bahawa kepercayaan karut seumpama itu berpunca daripada amalan atau kepercayaan jahiliah yang dilarang Islam. Sehubungan itu, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Tidak ada penyakit berjangkit, tidak ada sempena (baik atau buruk) melalui burung berterbangan, tidak ada sial pada burung hantu dan tidak ada nahas dalam Safar. Hendaklah setiap daripada kamu melarikan diri daripada pesakit kusta seperti kamu melarikan diri daripada singa yang bengis.” (Hadis riwayat Bukhari)
Maksud hadis Rasulullah SAW jelas menegaskan bahawa jangan sekali-kali umat Islam beriktikad penyakit yang berjangkit boleh memberi kesan dengan sendirinya atau sangkaan sial majal atau nahas Safar itu berupaya memudaratkan kehidupan manusia.
Sebaliknya, apa juga peristiwa buruk atau baik, berjangkit atau tidak sesuatu penyakit itu, semuanya adalah daripada kekuasaan dan kehendak Allah belaka.
Pada masa sama, Rasulullah SAW juga berpesan kepada setiap Muslim supaya mengambil langkah berwaspada ketika berhadapan sesuatu musibah dengan memerintahkan mereka melarikan diri daripada pesakit kusta dan janganlah menghampiri mereka.
Ia bukan bererti bahawa penyakit kusta boleh berjangkit dan memudaratkan orang ramai, sebaliknya larangan itu menyingkap suatu tindakan berjaga-jaga dan berusaha untuk memelihara diri daripada meletakkan diri ke kancah bahaya dan kemusnahan.
Bukankah Allah berfirman yang bermaksud: “Belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan perelokkanlah perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 195)
Berdasarkan keterangan nas itu, nyatalah bahawa apa yang dipercayai dan diamalkan oleh sebahagian umat Islam selama ini, iaitu kepercayaan Safar adalah bulan nahas atau sial, burung hantu burung sial dan seumpamanya adalah kepercayaan karut dan bertentangan dengan ajaran Islam.
Begitu juga upacara atau pesta mandi laut, bersuka ria dengan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan tanpa batas kononnya untuk mengelakkan diri daripada bala Safar bertukar wajah sebagai pesta menambah dosa dan mencari bala kerana kadang-kadang ada yang mati lemas akibat kelalaian sendiri, malah ada yang tergamak melakukan perbuatan terkutuk ketika pesta berkenaan.
Selain itu, terdapat juga orang tua di negara ini yang tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan atau majlis keramaian pada Safar kerana dikhuatiri pengantin tidak akan mendapat zuriat atau tidak bahagia.
Kepercayaan seperti itu jelas bercanggah dengan syariat Islam serta boleh menyebabkan rosaknya akidah. Dalam keadaan tertentu, ia boleh menyebabkan seseorang menjadi syirik kerana percaya kepada bulan, bukannya pada kuasa Allah.
Sebenarnya, nahas atau bala bencana itu tidak berlaku hanya pada Safar. Kepercayaan karut itu amat jelas ditolak dan dilarang dengan kerasnya oleh Islam.
Allah berfirman bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad), tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jugalah hendaknya orang yang beriman bertawakal.” (Surah at-Taubah, ayat 51)
Tuesday, February 20, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment