SANGKAAN atau kepercayaan khurafat bahawa kononnya Safar membawa bala dan musibah berlaku sejak dulu lagi. Bagi masyarakat yang tidak usul periksa, terus menerima serta mempercayainya.
Sebagai natijahnya, kepercayaan karut-marut itu terus membelenggu mereka yang lemah jiwa dan imannya hatta terus membudayakan amalan berbau syirik itu.
Kepercayaan ada perkara sial atau bala pada sesuatu hari, bulan dan tempat itu sesungguhnya adalah sebahagian kepercayaan orang jahiliah sebelum kedatangan Islam.
Manakala amalan bersuka ria dan mandi-manda pada Safar pula dikatakan ada kaitan dengan perbuatan orang Yahudi. Perbuatan itu diriwayatkan berlaku ketika Nabi SAW sedang gering pada bulan Safar, iaitu tatkala Baginda kian menghampiri saat kewafatannya.
Kaum Yahudi yang benci kepada Nabi SAW rasa senang dan gembira mendengar berita Baginda sedang sakit.
Sebagai melahirkan rasa kegembiraan dan kesukaan, mereka mengadakan pesta mandi-manda.
Ada juga pendapat yang mengaitkan amalan mandi-manda sama ada di sungai atau di pantai pada bulan Safar itu dengan upacara keagamaan penganut Hindu yang mandi di sungai Ganga di India, tujuannya untuk mensucikan diri daripada dosa.
Sesungguhnya Allah tidak menetapkan bahawa sesuatu hari ataupun bulan tertentu itu mendatangkan bala atau membawa perkara buruk. Ini bererti bulan Safar seperti juga bulan yang lain tidak menjanjikan perkara buruk berlaku.
Seseorang boleh ditimpa musibah meskipun dia duduk senang-lenang di rumah kerana yang menentukan untung nasib atau keadaan hidupnya bukanlah hari, bulan dan kemewahan harta benda, akan tetapi semua urusan sama ada yang baik mahupun buruk itu sebahagian daripada ketentuan Ilahi.
Oleh hal yang demikian, menghindari sesuatu bencana bukanlah dengan cara mandi tolak bala atau menjamu makhluk halus yang dikatakan sebagai penyebab sesuatu musibah.
Cara yang sepatutnya ialah memohon pertolongan Allah dengan berdoa kepada-Nya, mentaati segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya terutama sekali perbuatan yang berbau syirik atau mempersekutukan Allah.
Syirik atau mempercayai ada kuasa lain selain Allah adalah satu kesalahan yang dosanya tidak diampunkan Allah.
Firman Allah yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mempersekutukan (sesuatu) dengan Dia dan Dia mengampuni dosa yang selain daripada syirik itu bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Sesiapa yang mempersekutukan (sesuatu) dengan Allah, maka sesungguhnya dia tersesat sejauh-jauhnya.” (Surah An-Nisaa, ayat 116).
Justeru, masyarakat Islam mesti didedahkan dengan bahaya syirik supaya mereka dapat membezakan apakah pekerjaan dan perkataan mereka selama ini mengandungi unsur syirik atau sebaliknya.
Ia penting bagi mengelakkan diri daripada membawa amalan kosong tatkala menghadap Allah kelak di padang Mahsyar.
Perlu disedari dan diinsafi bahawa setiap muslim diwajibkan menghindari musibah dan mengatasi musibah yang menimpa dirinya. Contohnya ialah seseorang itu mesti menjaga kesihatan supaya tidak terkena penyakit.
Tetapi apabila sakit, maka hendaklah berusaha mengubati penyakit itu sambil bertawakal kepada Allah supaya sembuh.
Usaha yang harus dilakukan oleh manusia untuk menghindari musibah bukan hanya dengan menghadapinya tetapi dengan mencegahnya, kerana mencegah sesuatu penyakit daripada berlaku lebih baik daripada mengubatinya.
Oleh itu, bersabarlah dan jangan putus asa menghadapi musibah kerana itu adalah takdir daripada Allah sama ada sebagai ujian atau kifarat terhadap dosa dan kesalahan yang kita lakukan.
Berita Harian, 20 FEB 2007
Tuesday, February 20, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment